40 pohon ditanam sempena Hari Bumi 2026




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman


MUARA, Rabu, 22 April. - Bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Bumi 2026, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan dengan sokongan Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu mengadakan Acara Penanaman Pokok dan Pembersihan Pantai Coastal Marvel yang berlangsung di Taman Rekreasi Pantai Muara, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.


Sempena Hari Bumi tersebut sebanyak 40 pohon pokok telah ditanam iaitu 26 pohon Pokok Ketapang dan 14 pohon Pokok Khaya. Sementara itu, sejumlah 230.4 kilogram (kg) sisa sampah telah berjaya dikutip oleh lebih daripada 100 peserta, di mana sebanyak 130.3kg daripadanya adalah sisa plastik.


Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan taklimat keselamatan. Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi pemanasan badan dan 'briskwalk' sebelum memulakan aktiviti penanaman pokok dan Kempen Kebersihan Coastal Marvel di sepanjang persisiran pantai berkenaan.


Setiap 22 April setiap tahun, masyarakat global termasuk Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Bumi yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam memelihara alam sekitar.


Dengan tema, 'Our Power, Our Planet', Sambutan Hari Bumi pada tahun ini memfokuskan kepada peranan kolektif orang ramai, komuniti-komuniti dan organisasi-organisasi dalam sama-sama mengekalkan usaha-usaha menjaga dan melindungi alam sekitar. Maklumat lanjut mengenai kempen ini turut dikongsikan di laman Instagram rasmi JASTRe di '@jastre.bn'.


Turut hadir semasa kempen tersebut ialah wakil-wakil daripada Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu, Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, ketua-ketua jabatan, divisyen, unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Close